Bekas pengetua mengaku tidak bersalah cabul tiga kakitangan [METROTV]

"Bekas pengetua mengaku tidak bersalah cabul tiga kakitangan [METROTV]"

MediaHarian Metro
Published Date26 July 2021
Written ByZatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Bekas pengetua sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencabul tiga kakitangannya.

Tertuduh, Aminuddin [email protected], 53, membuat pengakuan itu ketika lima pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 33 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya di dalam stor di sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu, jam 2 petang pada Januari lalu.

Tertuduh turut mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa sama berhampiran tangga dan di dalam bilik guru di sekolah sama pada 9 pagi dan 3.30 petang, 20 Januari lalu.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap dua lagi mangsa 35 dan 44 tahun di sekolah sama pada Januari dan Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah manakala tertuduh diwakili peguam, Noor Svetlana Datuk Mohd Noor Nordin.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Hulu Terengganu bagi membantu siasatan kes cabul dan gangguan seksual yang dipercayai berlaku dalam tempoh dua bulan bermula Januari lalu.

Media