“2 polis didakwa rompak wang RM239,000”

Berita Harian Online, 25 June 2018

"2 polis didakwa rompak wang RM239,000"

MediaBerita Harian Online
Published Date25 June 2018
Written ByBernama

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai dan seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan dan merampas wang RM239,000 dari seorang lelaki, di sebuah kondominium, tahun lepas.

Inspektor Raja Zulkhairi Raja Omar, 34, dan Koperal Johari Zambari, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noradura Hamzah.

Mereka didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas Ahmad Kamil Suratin, 32, dan telah merampas wang berkenaan di Kondominium Three28, Jalan Tun Razak di sini pada 11.45 pagi, 2 Ogos 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad tidak mencadangkan jaminan bagi kedua-dua tertuduh atas alasan kesalahan itu serius.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah membenarkan ikat jamin bagi anak guamnya dengan alasan mereka menanggung keluarga.

“Kedua-dua anak guam saya masing-masing mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan ini merupakan kesalahan kali pertama serta tiada rekod jenayah lampau.

“Mereka adalah penjawat awam… mempunyai pekerjaan tetap dan jaminan akan memastikan mereka akan hadir ke mahkamah. Maka saya pohon jaminan rendah dan munasabah bagi kedua-dua anak guam saya,” katanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali setiap bulan; tidak mengganggu saksi pendakwaan dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes. – BERNAMA