“Inspektor, Koperal polis tak mengaku rompak”

Utusan Online, 25 June 2018

"Inspektor, Koperal polis tak mengaku rompak"

MediaUtusan Online
Published Date25 June 2018
Written ByUtusan Online

Inspektor Raja Zulkhairi Raja Omar, 34, dan Koperal Johari Zambari, 37, didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas Ahmad Kamil Suratin, 32, dan merampas wang sebanyak RM239,000 di sebuah unit Kondominium Three28(328), Jalan Tun Razak, di sini kira-kira pukul 11.45 pagi, 2 Ogos 2017.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan sebelum itu tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan serius namun peguam, Noor Svetlana Mohd. Noor Nordin yang mewakili Raja Zulkhairi dan Johari memohon jaminan dibenarkan dengan jumlah minimum atas alasan kedua-dua anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Kedua-dua anak guam saya perlu menanggung isteri dan Raja Zulkhairi turut menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan mereka (tertuduh) merupakan penjawat awam,” kata peguam itu.

Hakim Noradura Hamzah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada hari Isnin dua minggu sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan 19 Julai ini untuk sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE